suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Ramai pandang ringan renovasi rumah lebih sempadan tanah... Bukan sahaja langgar undang-undang tapi berdosa walau sejengkal

Binaan rumah yang memasuki kawasan tanah bukan milik sendiri boleh dianggap sebagai satu bentuk pencerobohan. -Gambar hiasan AI

ADA pemilik rumah tidak menyedari kerja pengubahsuaian kediaman yang melebihi sempadan lot tanah bukan sekadar melanggar peraturan tetapi mengundang dosa sekiranya melibatkan pengambilan tanah bukan hak milik sendiri.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerusi perkongsian menjelaskan tindakan membesarkan rumah sehingga memasuki kawasan tanah milik orang lain atau tanah kerajaan tanpa kebenaran merupakan satu perbuatan yang dilarang.

Perbuatan itu bukan sahaja boleh menjejaskan hak pihak lain, malah berpotensi menimbulkan masalah kepada penduduk sekitar, khususnya apabila binaan tambahan mengganggu laluan, sistem perparitan dan kemudahan awam.

Boleh dikenakan tindakan undang-undang

Dari sudut undang-undang sivil, pengubahsuaian rumah di kawasan kediaman berstrata perlu mematuhi peruntukan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

Pemilik tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah suai atau menggunakan kawasan harta bersama tanpa mendapatkan kelulusan pihak berkaitan, termasuk Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) serta pihak berkuasa tempatan (PBT), mengikut keperluan.

Selain itu, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) turut memperuntukkan tindakan terhadap binaan tambahan yang dilakukan tanpa kelulusan pelan daripada PBT.

Pihak berkuasa boleh mengambil tindakan termasuk mengarahkan struktur yang dibina secara tidak sah dirobohkan serta mengenakan denda terhadap pemilik.

Justeru, pemilik kediaman perlu memastikan setiap kerja pengubahsuaian mematuhi pelan bangunan yang diluluskan dan tidak menceroboh kawasan di luar sempadan lot masing-masing.

Ambil tanah walaupun sejengkal tetap berdosa

Sementara itu, Jabatan Mufti Negeri Selangor memberi penjelasan berhubung isu serupa menerusi persoalan seorang penduduk yang berdepan masalah beberapa jiran mengubah suai rumah melebihi sempadan lot tanah.

Individu berkenaan yang bekerja sebagai juru ukur tanah berkata, beberapa jiran di kawasan perumahan teres didakwa membina struktur berbumbung kekal melebihi tiga kaki daripada sempadan lot asal berukuran 20 x 60 kaki.

Keadaan itu menyebabkan binaan berkenaan memasuki kawasan rizab jalan atau parit milik pihak berkuasa tempatan, sekali gus menjejaskan keselesaan pandangan dan privasi penduduk.

Merujuk kepada persoalan hukum mengambil tanah bukan milik sendiri, Jabatan Mufti Negeri Selangor menjelaskan bahawa perbuatan menceroboh atau mengambil tanah orang lain, termasuk tanah milik kerajaan tanpa kebenaran, merupakan satu dosa dan kezaliman.

Jabatan itu turut memetik hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Said bin Zaid RA.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, Allah akan melilitnya pada hari kiamat dengan tujuh petala bumi yang diambilnya," Riwayat Muslim. 

Hadis tersebut menjadi peringatan bahawa mengambil hak orang lain bukan perkara kecil, meskipun keluasan tanah yang diceroboh hanya sedikit.

Ia juga menunjukkan bahawa hak milik seseorang perlu dihormati dan tidak boleh diambil atau digunakan sesuka hati tanpa keizinan pemiliknya.

Dalam pada itu, Jabatan Mufti Negeri Selangor menegaskan bahawa individu yang berhasrat menggunakan tanah kerajaan perlu membuat permohonan atau mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu.

Pengubahsuaian rumah melebihi sempadan tanah bukan sahaja boleh dikenakan tindakan undang-undang, malah berdosa jika melibatkan pencerobohan hak orang lain.

Artikel Lain